Selasa, 14 Oktober 2014

Mahasiswa Minda Kelas Pertama

                         
     

         Matlamat sebenar universiti memberi pendidikan yang baik kepada pelajar salah satunya ialah untuk melahirkan mahasiswa minda kelas pertama. Mahasiswa minda kelas pertama bermaksud seorang insan yang mampu memenuhi pembangunan individu, keluarga, masyarakat dan dunia. Modal insan yang berkualiti mampu menyumbang terhadap kemajuan negara.

       Antara ciri-ciri mahasiswa kelas pertama  ialah penguasaan ilmu yang tinggi. Mahasiswa tersebut  peka dengan perkembangan dunia dan sentiasa mendalami tentang sesuatu yang dipelajari. Mereka sentiasa berfikir di luar takuk untuk menghasilkan sesuatu  yang lebih  berkualiti. Mereka akan  berfikiran ke hadapan dan berusaha untuk mencapai visi yang telah ditetapkan.

         Selain itu, ciri mahasiswa minda kelas pertama juga bersikap proaktif. Mereka  sangat aktif dalam menyertai pelbagai aktiviti sama ada di dalam universiti ataupun di luar universiti. Mereka sentiasa memberi komitmen yang tinggi terhadap sesuatu yang dilakukan. Hal ini dapat melatih mereka supaya lebih berdaya saing pada masa kelak. Mereka juga menyertai  pelbagai aktiviti untuk mempertingkatkan kebolehan serta dapat memotivasikan diri mereka.

        Ciri seterusnya ialah kekayaan moraliti. Sebagai mahasiswa minda kelas pertama mereka harus berakhlak mulia dan berbudi pekerti. Oleh sebab itu, mereka akan disanjungi dan menjadi contoh teladan yang baik kepada mahasiswa lain. Sikap mereka yang terpuji menyebabkan masyarakat di luar sana lebih memilih mereka dalam pelbagai sektor pekerjaan  berbanding dengan orang lain. 

         Kesimpulannya, mahasiswa minda kelas pertama merupakan aset penting kepada negara. Setiap mahasiswa harus melengkapi diri mereka dengan minda kelas pertama agar mereka menjadi modal insan unggul yang terlibat dengan segenap ruang pembangunan negara. Kekayaaan wang ringgit dan jawatan tidak berguna seandainya pemikiran kita masih ditakuk yang lama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan